Wednesday, September 3, 2008

Tarawikh dan Puasa

Sekarang tibanya bulan barakah bulan Ramadhan. Orang Melayu selalu sebut ‘bulan puasa’ kerana pada bulan ini umat Muslim seluruh dunia akan berpuasa demi menunaikan rukun Islam ketiga.

Jika di Malaysia, persiapan menyambut Ramadhan akan dibuat sebelum mula bulan puasa lagi, tapi yang lebih meriahnya adalah persiapan beraya. Sebelum raya dah siap-siap tempah baju raya. Bulan puasa hanya dimeriahkan di surau-surau, masjid-masjid. Rata-rata orang akan sibuk bercerita tentang baju raya, kuih raya, balik kampung, dan macam-macam lagi aktiviti untuk memeriahkan Hari Raya Aidilfitri yang hadir sejurus selepas bulan Ramadhan.Hmm..

Aku masih ingat isteri Ustaz Puad (cikgu homeroom di MRSM Terendak dulu) pernah bercerita kalau di tanah airnya (Arab Saudi) bulan Ramadhan akan disambut dengan meriah. Aktiviti berbuka layaknya seperti rumah terbuka yang mana sesiapa sahaja boleh berkunjung dan menikmati juadah berbuka di rumah teman-teman dan sanak saudara. Aktiviti seterusnya akan diteruskan dengan solat tarawikh beramai-ramai. Ramadhan dinanti-nanti dan sambutannya lebih meriah berbanding tibanya Syawal. Bahkan, pemergian Ramadhan jua dirasakan amat menyedihkan dan ditangisi semua. Perbezaan budaya dan amalan ini tampak sangatlah besar bezanya.

Di New Zealand, sementelah aku belajar di sini inilah masanya untuk aku refleks kembali pengertian Ramadhan. Kalau masa kecil-kecil, menunaikan puasa dan Tarawikh itu hanyalah sekadar amalan yang aku lakukan hanya kerana semua orang lakukan. Aku ingat lagi, kakak pernah membawa aku ke surau di kampung untuk solat Tarawikh. Setiap kali aku solat aku cuma fikir “kenapalah imam ni banyak sangat solatnya dan panjang pula bacaan-bacaan surahnya?? ” Sedikit pun aku tak mengerti fungsi dan peranan solat tarawikh tersebut. Bila aku makin besar, aku mula tinggal di asrama. Solat tarawikh dijadikan satu kemestian bagi semua pelajar. Sekali lagi, aku menurut apa yang orang lain tetapkan. Tanpa tekanan, sedikit pun aku tidak merasa mahu menunaikannya sendiri. Di kolej, aku mula diberikan kebebasan. Aku boleh memilih untuk pergi ataupun tidak berdasarkan kesesuaian jadualku. Hmm..waktu itu, aku pergi solat tarawikh dengan penuh rela dan keihklasan. Namun, bila saat peperiksaan menjelang aku tinggalkan semua itu dan cuba tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Sekali lagi, aku sesat dalam kejahilanku sendiri. Solat tarawikh hanya satu aktiviti berfaedah tetapi agak mengambil masa. Aku memilih untuk memanfaatkan masa itu demi pelajaran (kononnya).

Kini, bila tiada ustaz-ustazah, pak imam mahupun keluarga aku tetap menunaikan tarawikh. Tapi di sini, aku melihat teman-temanku berusaha menghafal skrip selawat dan zikir, aku dan teman-teman bercanggah pendapat menentukan arah kiblat dan kami juga cuba mencuri masa untuk menyediakan moreh (makanan ringan selepas solat tarawikh). Segala kesukaran ini aku hadapi dengan penuh kesyukuran kerana aku percaya, apa yang aku alami ini adalah satu pengajaran yang sangat penting dalam hidupku. Saat ini, aku akui aku masih belum memahami pengertian dan signifikan solat Tarawikh ini tapi padaku, keihklasan melakukan sesuatu adalah sesuatu yang lebih penting. kerana Ikhlas itu adalah asas untuk menjanjikan kehidupan yang lebih bermakna.

Puasa pula, kalau masa kecil -kecil hanya memberi makna menahan lapar dan dahaga. Kini, aku dapati bahawa menahan dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa itu adalah jauh lebih penting. Sesungguhnya aku pun manusia biasa. Dosa pahala bercampur-baur dalam kehidupan seharian. Tapi bulan ini membuatku berlatih dengan lebih tekun lagi demi memahami erti menahan diri tersebut. Almaklumlah, hidup dikelilingi masyarakat yang tidak mengamalkan cara hidup Islam mudah sahaja mengheret aku sekali. Kalaupun tidak membuat dosa, fikir tentang sesuatu yang berdosa pun belum tentu dapat kuelak seratus-peratus. Nauzubillah.. Justeru aku berharap Ramadhan kali ini akan mengajarku lebih lagi pengertian hidup seorang muslimah..

Mampukah aku menahan godaan??


No comments: